Pages

z
z

Wednesday, February 23, 2011

Ong Kim Swee yakin Malaysia mara...

BIARPUN gagal mencipta kemenangan besar, jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee tetap yakin Malaysia mampu mara ke pusingan kedua.

Pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam tadi, Malaysia berjaya menewaskan Pakistan 2-0.

Kim Swee berkata, Pakistan pasti akan beraksi corak lebih terbuka pada aksi kedua di Lahore pada 9 Mac depan kerana lawan perlu memadam kelebihan dua gol skuad negara.

“Secara keseluruhan, kita tetap beraksi baik. Cuma pada babak kedua, penjaga gol gantian Pakistan (Muhammad Omar) cemerlang menyelamatkan beberapa percubaan terbaik kita.

“Tapi 2-0 masih tetap baik bagi kami. Sudah tentu pada aksi kedua di Lahore nanti, Pakistan akan bermain secara menyerang untuk mengejar dua gol.

“Dengan Pakistan tidak beraksi secara bertahan nanti, saya yakin kita mampu menjaringkan satu atau dua gol lagi di Lahore,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Kedua-dua gol skuad negara dijaringkan pemain bukan penyerang iaitu Wan Zaharulnizam Wan Zakaria pada minit ketiga dan Irfan Fazail minit ke-45.

Namun Kim Swee tetap mempertahankan persembahan kedua-dua penyerang yang diturunkannya malam tadi iaitu Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani.

“Saya terpaksa keluarkan Shakir pada minit ke-50 bagi mengelak risiko dia dilayangkan kad kuning kedua.

“Fakri memperoleh tiga peluang terbaik pada babak kedua tetapi dinafikan palang gol dan kecekapan penjaga gol lawan.”

Sementara itu, jurulatih Pakistan, Tariq Lutfi menyifatkan gol awal Malaysia dan kad merah diterima Ansar Abbas pada minit ke-45 sebagai punca kekalahan mereka.

“Tapi kami tetap berjaya memberikan tentangan yang cukup baik ditambah pula Malaysia diberi sokongan padu penyokong mereka. Ia turut menjejaskan rentak kami.

“Harap kami dapat mempamerkan satu lagi persembahan baik pada 9 Mac depan. Dengan sokongan penyokong di Lahore nanti, saya yakin kami mampu memadam defisit dua gol ini,” kata Tariq.


Pemain tengah Malaysia, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria (dua dari kiri) ketika merembat masuk gol pertama menewaskan tiga pertahanan Pakistan, Ansar Abbas (kiri), Muhammad Adil (kanan) dan Mohammad Touseef pada perlawanan pusingan pertama, Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, 23 Februari 2011. Malaysia menang 2-0.

0 comments:

Post a Comment