Pages

Sunday, July 31, 2011

Ilham kontemporari buah kurma



KURMA atau tamar merupakan hidangan yang menjadi 'buruan' ramai terutamanya menjelang bulan Ramadan. Berbanding satu atau dua jenis yang diketahui oleh seseorang, sebenarnya terdapat ratusan jenis buah istimewa itu di seluruh dunia.

Di Arab Saudi sahaja, terdapat lebih daripada 400 jenis. Itu belum termasuk dari Mesir, Iran, Tunisia, Iraq dan di California, Amerika Syarikat.

Kurma jenis Nabi atau ajwa, sefri, barhi, khalas dan khodri yang berwarna merah hati (maroon) pula merupakan antara yang paling popular dan menjadi kegemaran utama penduduk di Tanah Arab.

Selain dimakan segar sesudah matang usia, zaman yang silih berganti kini menyaksikan kurma atau nama saintifiknya, phonex dactylifera, dinikmati dengan pelbagai cara dan rupa.

Buah dari jenis tumbuhan palma itu kini direvolusikan dengan tambahan elemen, bahan atau perisa sampingan agar selari dengan kecenderungan dan selera masyarakat semasa.

Terbaru, sekumpulan anak muda dari syarikat UKP Management Enterprise mengambil inisiatif melakukan pembaharuan pembungkusan yang lebih dinamik terhadap buah yang kaya dengan khasiat itu.

Enam sekawan, Ashraf Zulkifli, 30; Mohd. Noor Nawawi Muhammad, 30; Ikhwan Mansor, 30; Abdullah Ismail, 28; Ahmad Nailan Rosli, 30 dan Shahrul Zaman Luqman, 30, terpanggil berbuat demikian setelah mereka berenam melakukan kajian menyeluruh tentang cita rasa berbeza rakyat Malaysia.

Selaku Pengarah Operasi syarikat, Ashraf memberitahu Kosmo!, ilham itu mula-mula hadir apabila mereka melihat kurma badam yang disalut coklat atau lebih dikenali dengan nama Chocodate menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan pencinta kurma.

"Selepas melihat fenomena luar biasa itu, kami terfikir mengapa tidak buah itu ditransisikan kepada beberapa elemen dan rasa tambahan agar ia lebih kontemporari dan sedap.

"Paling penting, rasa kurma yang diperbaharui itu sendiri mampu dihadam orang ramai dan tidak menjejaskan keaslian rasa kurma itu sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

Friday, July 29, 2011

Perodua lancar khidmat Tweckbot

SUBANG – Hanya dengan tweet di laman sosial Twitter Perodua iaitu@MYPerodua, skuad Tweckbot akan membantu anda.

Program yang dinamakan Tweckbot itu memberikan kemudahan pemeriksaan awal terhadap 15 komponen utama kepada pemilik kenderaan keluaran Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

Pengarah Urusan Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh (gambar) berkata, ia satu langkah dalam mengesan sebarang kerosakan awal pada kenderaan tersebut sebelum menjalani pemeriksaan lebih lanjut di semua pusat servis kenderaan syarikat ini.

“Setiap kenderaan yang diperiksa tidak akan dikenakan sebarang bayaran kerana matlamat kami bagi memberikan maklumat awal mengenai kerosakan yang dialami oleh kenderaan yang dimiliki mereka.

“Malah setiap kenderaan yang diperiksa melalui program ini juga diberikan potongan 15 peratus terhadap alat ganti yang ditukar semasa melakukan penukaran di pusat servis kami,” katanya selepas majlis pelancaran Tweckbot di Pusat Servis Perodua di sini semalam.

Tuesday, July 26, 2011

Tarikh lihat anak bulan Ramadhan Ahad ini (31 Julai 2011)



KUALA LUMPUR - Tarikh melihat anak bulan bagi menentukan permulaan puasa bagi umat Islam di seluruh Malaysia ialah pada petang Ahad ini, 31 Julai bersamaan 29 Syaaban 1432 Hijrah.

Menurut kenyataan Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, tempat melihat anak bulan adalah Pontian Kecil di Johor; Kompleks Falak Al-Khawarizmi, Tanjung Bidara (Melaka); Teluk Kemang (Negeri Sembilan); Bukit Melawati (Selangor); Pulau Angsa (Selangor); Bukit Jugra (Selangor), Balai Cerap Selangor, Sabak Bernam (Selangor); Pantai Pasir Panjang (Perak); Pusat Falak Sheikh Tahir, Pantai Aceh (Pulau Pinang); Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda (Kedah); Pemandangan Indah, Pulau Langkawi (Kedah); Menara Alor Setar (Kedah).

Bukit Besar, Kuala Terengganu (Terengganu); Bukit Kemuning, Kemaman (Terengganu); Pulau Perhentian (Terengganu); Balai Cerap KUSZA, Setiu (Terengganu), Bukit Peraksi, Pasir Puteh (Kelantan); Bukit Kampung Tembeling, Kuala Krai (Kelantan); Menara Bangunan SEDC, Kota Bharu (Kelantan).

Tanjung Lubang, Miri (Sarawak); Teluk Bandung, Kuching (Sarawak), Tanjung Batu, Bintulu (Sarawak); Balai Cerap Al-Biruni, Putatan, Sabah; Bukit Tanjung Batu, Nenasi (Pahang); Gunung Berincang, Cameron Highlands (Pahang); Bukit Pelindong, Kuantan (Pahang).

Menara Universiti Malaysia Sabah (Labuan); Menara Kuala Lumpur (Kuala Lumpur); Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat (Perlis). Majlis Raja-Raja mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan rukyah dan hisab, dan pengisytiharan tarikh permulaan puasa akan dibuat oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja melalui radio dan televisyen pada malam itu juga.

Siti Saleha meniti populariti



KISAH percintaan Nora Elena dan Seth Tan menjadi idaman dan igauan setiap penonton yang mengikuti siri drama tersebut yang telah ditayangkan di slot Akasia TV3 beberapa bulan lalu. Di dalam drama yang diadaptasi dari sebuah novel yang berjudul Kasih Yang Suci ini, pendatang baharu Siti Saleha atau nama sebenarnya Siti Saleha Mohd. Baharum telah diberi kepercayaan untuk memegang watak utama di samping pelakon kacak Aaron Aziz yang memegang watak Seth Tan.

Walaupun telah tiga tahun berada di dalam industri seni, nama Siti Saleha kurang dikenali ramai. Namun, bak kata orang, tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Watak Nora Elena berjaya melonjak terus nama gadis berusia 21 tahun ini dalam bidang yang diminatinya sejak kecil itu. "Saya tidak sangka drama ini mendapat sambutan ramai. Namun, apa yang boleh dikatakan, saya seronok sepanjang terlibat dalam penggambaran Nora Elena. Saya juga suka kepada watak yang saya lakonkan sejurus selepas menerima tawaran tersebut.

"Ia merupakan pengalaman pertama saya berlakon dan memegang watak dari drama yang diadaptasikan dari sebuah novel," ujar Saleha yang manis berkebaya rekaan Salikin Sidek ketika ditemui dalam majlis The Blue Kebaya Showcase, The Weld, Kuala Lumpur baru-baru ini. Di sebalik kejayaan dan kepuasan berlakon yang dikecapinya, Saleha akui masih baru dengan publisiti yang diterima dirinya dan sedikit sebanyak membuatkan empunya diri takut dengan penerimaan masyarakat terhadapnya.

"Saya mendapat kepuasan yang berlainan setelah berlakon di dalam drama ini dan dari segi publisiti pula sedikit menakutkan. Ini kerana kini apabila saya bersiar-siar atau berjalan di mana-mana, orang akan mula mengenali dan melihat saya. "Seperti baru-baru ini, ketika saya ingin menuju kereta selepas tamat kuliah, tiba-tiba seorang lelaki memanggil saya dari arah belakang. Masa itu, saya sedar yang saya semakin dikenali. Namun, saya tidak mahu sombong dan lupa diri," cerita Saleha yang berikrar dia akan sentiasa mengingatkan dirinya agar terus berpijak di bumi nyata dan tidak hanyut dibuai keenakkan dunia glamor.

Wednesday, July 20, 2011

Anelka anggap Malaysia bukan lawan mudah

PENYERANG Chelsea, Nicolas Anelka mengakui skuad The Blues akan berdepan laluan getir apabila turun menentang pilihan Malaysia dalam aksi persahabatan di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Anelka sedar reputasi Chelsea sebagai antara kelab gergasi dunia sekali lagi menjadi perhatian pada pertemuan tersebut dan sudah pasti peminat mahukan aksi yang menarik bagi memenuhi kehendak mereka.

Chelsea bertandang ke bumi Malaysia dengan membawa kesemua pemain bintangnya termasuk Fernando Torres, Frank Lampard, John Terry dan Didier Drogba dalam siri Jelajah Asia 2011,

Menurut penyerang dari Perancis itu lagi, semua pasukan yang akan berdepan The Blues sudah pastinya berazam untuk mencatat kemenangan, sekali gus mencalar reputasi mereka di hadapan peminat sendiri.

“Bukan mudah untuk menghadapi pilihan Malaysia esok (malam ini), terutamanya di hadapan peminat mereka sendiri,” kata Anelka ketika ditemui pada Klinik Bola Sepak PINTAR anjuran Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) di Damansara Damai semalam.

“Setiap pasukan yang menentang kami pasti mahu mencipta kemenangan tetapi begitu juga dengan keinginan yang ada dalam pasukan Chelsea.

“Apa yang pasti, saya dan rakan sepasukan lain tidak memandang mudah meskipun ia hanyalah perlawanan persahabatan.

“Kami semua mahu memberi aksi yang terbaik supaya dapat terpilih dalam skuad utama apabila kempen musim baharu nanti bermula,” jelasnya.

Ini merupakan kali kedua Anelka, 32, menjejak kaki ke Kuala Lumpur bersama Chelsea sejak kali pertama pada 2007.

Bekas pemain Arsenal, Liverpool, Manchester City dan Real Madrid itu juga gembira melihat sambutan yang diberikan peminat The Blues di Malaysia.

“Ini kali kedua saya tiba di sini dan apa yang saya boleh lihat ialah sambutan peminat terhadap kami amat menakjubkan.

“Ini sesuatu yang bagus bagi bola sepak di Malaysia dan kami sudah pastinya berasa bangga dengan kesetiaan yang ditunjukkan oleh peminat kami di sini.

“Teruskan sokongan ini kepada kami kerana kami amat memerlukannya pada musim ini dan juga esok (malam ini),” kata Anelka lagi.

Tuesday, July 12, 2011

Nyaris jatuh kerana bola besbol

PHOENIX - Seorang penonton, Keith Carmickle nyaris maut selepas beberapa rakannya memegang dua kaki dan kaki kanannya semasa dia terjatuh dari tempat duduk semata-mata untuk menangkap bola besbol di sebuah stadium di sini pada Isnin lalu, lapor sebuah akhbar semalam.

Dia diselamatkan oleh seorang rakan dan sekumpulan peminat selain seorang saudaranya semasa dia melompat untuk menangkap bola tersebut.

Insiden yang mencemaskan itu berlaku semasa seorang pemain besbol, Prince Fielder memukul bola ke arah kanan stadium.

Carmickle yang berdiri di atas sebuah meja tunduk tetapi dia hilang imbangan badan.

"Saya berpendapat, saya mendapat kehidupan yang baik," katanya.

Sebelum ini, seorang anggota bomba, Shannon Stone pernah terbunuh apabila terjatuh kerana mahu menangkap bola besbol dalam perlawanan yang berlangsung pada Khamis lalu.

Monday, July 11, 2011

Ibu lahir bayi 7.3 kilogram

DALLAS, Amerika Syarikat - Seorang ibu, Janet Johnson melahirkan anak lelaki menerusi pembedahan yang seberat 7.3 kilogram (kg) di sebuah hospital di Longview, Texas, lapor beberapa buah akhbar semalam.

Beberapa pegawai berkata, bayi itu mungkin yang paling berat pernah dilahirkan di negeri Texas.

Ibunya tidak pernah menjangka anaknya itu terlalu berat semasa dilahirkan kerana doktor pernah memberitahu mengenai bayinya mungkin seberat 5.4kg.

Bayi yang dilahirkan pada Jumaat lalu itu merupakan anak keempat pasangan itu.

Janet sebelum ini mempunyai tiga anak perempuan berusia 18 tahun, 16 tahun dan 10 tahun.

Dia menghidap diabetes semasa melahirkan anak lelaki itu.

Monday, July 4, 2011

T-Shirt Fred Perry & Munsingware untuk dijual



Baju bundle untuk dijual
Fred Perry Long Sleeve
Made in Japan
Size M
Labuh 27 inci
Pit to pit 18 inci
Warna kelabu
Condition 9/10
Harga RM50
Sms/pm saya 019-5501885
Nego nipis..
----------------------------------------------



Baju bundle untuk dijual
Munsingware Grandslam Short Sleeve
Made in Japan
Size L
Labuh 26.5 inci
Pit to pit 18.5 inci
Warna hijau gelap
Condition 9/10
Harga RM40
Sms/pm saya 019-5501885
Nego nipis..

Sunday, July 3, 2011

Berpeluh hirup sup urat keting

SEBELUM ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.

Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.



Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari. Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja.

Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.

Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?

“Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan.

“Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham. Saya rasa sup keting (‘ketin’ dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik,” katanya ketawa.

Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul.

Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak. Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.

Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng.


“Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.

“Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar,” katanya.

Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.

Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.

“Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki,” katanya sambil ketawa.