Pages

z
z

Sunday, July 31, 2011

Ilham kontemporari buah kurma



KURMA atau tamar merupakan hidangan yang menjadi 'buruan' ramai terutamanya menjelang bulan Ramadan. Berbanding satu atau dua jenis yang diketahui oleh seseorang, sebenarnya terdapat ratusan jenis buah istimewa itu di seluruh dunia.

Di Arab Saudi sahaja, terdapat lebih daripada 400 jenis. Itu belum termasuk dari Mesir, Iran, Tunisia, Iraq dan di California, Amerika Syarikat.

Kurma jenis Nabi atau ajwa, sefri, barhi, khalas dan khodri yang berwarna merah hati (maroon) pula merupakan antara yang paling popular dan menjadi kegemaran utama penduduk di Tanah Arab.

Selain dimakan segar sesudah matang usia, zaman yang silih berganti kini menyaksikan kurma atau nama saintifiknya, phonex dactylifera, dinikmati dengan pelbagai cara dan rupa.

Buah dari jenis tumbuhan palma itu kini direvolusikan dengan tambahan elemen, bahan atau perisa sampingan agar selari dengan kecenderungan dan selera masyarakat semasa.

Terbaru, sekumpulan anak muda dari syarikat UKP Management Enterprise mengambil inisiatif melakukan pembaharuan pembungkusan yang lebih dinamik terhadap buah yang kaya dengan khasiat itu.

Enam sekawan, Ashraf Zulkifli, 30; Mohd. Noor Nawawi Muhammad, 30; Ikhwan Mansor, 30; Abdullah Ismail, 28; Ahmad Nailan Rosli, 30 dan Shahrul Zaman Luqman, 30, terpanggil berbuat demikian setelah mereka berenam melakukan kajian menyeluruh tentang cita rasa berbeza rakyat Malaysia.

Selaku Pengarah Operasi syarikat, Ashraf memberitahu Kosmo!, ilham itu mula-mula hadir apabila mereka melihat kurma badam yang disalut coklat atau lebih dikenali dengan nama Chocodate menerima sambutan yang sangat memberangsangkan dalam kalangan pencinta kurma.

"Selepas melihat fenomena luar biasa itu, kami terfikir mengapa tidak buah itu ditransisikan kepada beberapa elemen dan rasa tambahan agar ia lebih kontemporari dan sedap.

"Paling penting, rasa kurma yang diperbaharui itu sendiri mampu dihadam orang ramai dan tidak menjejaskan keaslian rasa kurma itu sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM) baru-baru ini.

0 comments:

Post a Comment