IBADAT solat mempunyai pengertian yang sangat luas cakupannya. Solat dikatakan boleh memberikan ketenangan dan menjadi senaman terbaik khususnya kepada umat Islam yang mengamalkannya lima kali sehari seperti yang dituntut syarak.
Lebih penting, solat adalah satu medium komunikasi antara manusia sebagai makhluk dengan penciptanya iaitu Allah S.W.T. Amalan harian ini mempunyai 1001 hikmah jika dikaji dari aspek rohani dan juga jasmani.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Informatik Perubatan dan Sistem Mikro-Elektro-Mekanikal (MIMEMS) di Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan, Fakulti Kejuruteraan Universiti Malaya (UM) Prof. Ir. Dr. Fatimah Ibrahim, ibadah solat boleh memberikan 1001 manfaat kepada pengamalnya jika dilakukan dengan tekun dan tertib.
Beliau yang mengetuai sekumpulan penyelidik yang membuat kajian tentang sains solat sejak tahun 2005 memberitahu, melalui pergerakan dalam solat, banyak fakta saintifik dapat dibongkarkan.
"Hasil kajian yang dijalankan mendapati ibadah solat ternyata boleh memberi pelbagai manfaat kepada pengamalnya.
"Selain manfaat spiritual yang sering dihuraikan dalam bahan rujukan agama, solat juga memberikan manfaat fizikal dan mental jika pengamalnya melakukan ibadah tersebut dengan postur atau gerak laku yang betul.
"Kita sering diberitahu, solat adalah tiang agama. Dari sudut sains pula, pergerakan dalam solat sangat baik untuk kesihatan.
"Dari aspek agama, solat adalah tanda kita berterima kasih kepada Allah manakala dari sudut sains, solat adalah amalan penjagaan tubuh yang sempurna.
"Sementara itu, solat juga sering disebut sebagai amalan kerohanian yang boleh mencegah kemungkaran.
"Dalam kajian kami, pergerakan dalam solat sebenarnya boleh menghadirkan gelombang fokus dan ketenangan dalam diri yang menjadi tunjang pemikiran rasional seterusnya dapat mengelakkan pengamalnya melakukan perkara di luar batasan," jelasnya ketika ditemui Jurnal baru-baru ini.
Bukan itu sahaja, Fatimah turut memberitahu, pergerakan dalam solat jika dilakukan dengan postur yang betul sudah dibuktikan mampu mencegah, merawat dan memulihkan beberapa jenis penyakit.
"Jika solat diamalkan mengikut lima cara solat Rasulullah S.A.W, Insya-Allah amalan ini boleh menyihatkan jantung, menguatkan pinggang, merawat mati pucuk bagi lelaki dan mati putih bagi wanita, meningkatkan kualiti seks dan memulihkan otot kelamin.
"Selain itu, kajian ke atas testimoni juga mendapati terapi pergerakan solat boleh menguruskan badan, mencantikkan dan menganjalkan tubuh, mengurangkan kolesterol, mengawal tekanan darah tinggi dan banyak lagi manfaat lain," jelasnya.
Kolesterol
"Namun, sekiranya anda bersolat tanpa membengkokkan jari, FM akan bertambah dan LBM pula berkurangan.
"Ini akan menyebabkan otot tisu mengecut dan ruang tersebut mula dipenuhi gumpalan lemak badan yang akan mengundang risiko penyakit jantung, strok dan kegemukan," ujarnya yang memberitahu pergerakan rukuk dan sujud mempunyai banyak persamaan dengan senaman fisioterapi senaman pagi dan 'quadraped'.
Menurut Fatimah yang bekerjasama menjalankan penyelidikan sains solat bersama Prof. Wan Abu Bakar Wan Abas dan Ng Siew Cheok, cara pernafasan yang betul semasa bersolat boleh mengaktifkan otot perut dan membantu mengempiskan perut.
"Caranya mudah, setiap kali rukuk dan sujud, ulang bacaan tasbih dengan kiraan minimum sebanyak tiga kali. Selang selikan bacaan tersebut dengan menarik nafas.
"Untuk mendapatkan keputusan yang ideal, anda boleh membaca tasbih sebanyak lima kali," katanya.
Beroperasi di Makmal Klinikal Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, selain membuat kajian, Fatimah dan kumpulannya turut menyediakan perkhidmatan ujian kolesterol, ujian risiko sakit jantung dan kesihatan keseluruhan, audit postur dan pergerakan solat terhadap komposisi badan, terapi menguruskan badan serta terapi sakit pinggang.
Selain itu, orang ramai juga boleh mengukur tahap otot kelakian dan kewanitaan, ujian gelombang ketika solat dan terapi kesihatan lelaki atau mati pucuk dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (UM).
0 comments:
Post a Comment