Pages

z
z

Monday, June 13, 2011

Gempa bumi di Sumatera turut dirasai di Pantai Barat Semenanjung Malaysia

KUALA LUMPUR, 14 Jun -- Gempa bumi sederhana bermagnitud 5.5 pada skala Richter berlaku di Sumatera Utara, Indonesia pada pukul 8.08 pagi Selasa.

Menurut satu kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia, pusat gempa ialah 330km ke barat daya Klang, Selangor.

Gegaran turut dirasai di beberapa tempat di pantai barat Semenanjung terutama di sekitar Selangor, selatan Perak dan Melaka.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Shah Alam ketika dihubungi memaklumkan bahawa pihaknya menerima satu aduan gegaran berlaku di bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) Selangor pada pukul 8.29 pagi.

Keadaan adalah terkawal.

Di KLANG, seorang penduduk di Kampung Meru Suziela Che Mat yang menghubungi Bernama memaklumkan rumahnya mengalami gegaran.

"Katil di dalam bilik rasa bergegar, waktu itu saya sedang membaca buku di atas katil. Saya juga nampak air masak dalam botol (terletak di meja bersebelahan) bergoncang," kata suri rumah itu.

Dia, bagaimanapun, tidak keluar dari rumahnya kerana gegaran itu sebentar sahaja.

Namun, Suziela, 25, berkata dia berasa pening kepala selepas gegaran itu.

Saturday, June 4, 2011

Suri rumah dipenjara dua tahun

IPOH - Mahkamah Tinggi di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas seorang suri rumah selepas dia mengaku bersalah menyebabkan kematian seorang lelaki yang cuba memperkosanya tahun lalu.

Hakim Datuk Zainal Adzam Abd. Ghani memerintahkan S. Kalaichelvi, 24, menjalani hukuman tersebut selepas mengaku bersalah menyebabkan kematian M. Kumaran, 29, di dalam rumahnya di Taman Bistari, Ayer Tawar, Manjung di antara pukul 3 hingga 3.30 pagi pada 7 Januari 2010.

Suami tertuduh, G. Kalipar, 26, yang turut dituduh atas kesalahan sama dibebas tanpa dilepaskan oleh mahkamah.

Bagaimanapun, Kalipar kemudian didakwa sekali lagi atas tuduhan baharu iaitu melupuskan barang bukti di Mahkamah Manjung kerana membantu isterinya membuang mayat mangsa di kawasan pembetung air di Jalan Lekir, Manjung dekat sini.

Zainal Adzam dalam penghakiman bertulisnya berkata, tertuduh sepatutnya dihukum lebih berat kerana pembunuhan kejam tersebut.

Thursday, June 2, 2011

Bakteria E.Coli landa Eropah

Jangkitan bakteria E.coli yang melanda Jerman dan merebak ke Eropah berpunca daripada jenis E.coli yang baharu, kata sepasukan saintis China selepas mereka menganalisis bakteria berkenaan.

Pasukan saintis berkenaan berkata, wabak tersebut yang membunuh 17 orang dan menyebabkan 1,500 lagi jatuh sakit di sepuluh buah negara Eropah yang pada mula disangkakan berpunca daripada sayuran-sayuran adalah kebal terhadap beberapa jenis antibiotik.

“E.coli ini adalah jenis bakteria baharu yang cepat berjangkit dan amat beracun,” kata pasukan saintis di Institut Genom Beijing di bandar Shenzhen, selatan China yang berkerjasama dengan pasukan saintis Jerman untuk mengenal pasti bakteria tersebut.

Bakteria yang menjadi punca wabak penyakit itu dikenali sebagai E. coli iaitu pengeluar racun Shiga (STEC).

Jurucakap Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Aphaluck Bhatiasevi berkata, WHO sedang menanti lebih banyak maklumat hasil kajian makmal ke atas bakteria itu.

“E.coli jenis ini belum pernah dilihat dalam situasi wabak seperti ini,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Sepanyol mengancam untuk mengambil tindakan undang-undang berhubung krisis tersebut.

Sepanyol menuntut gantirugi AS$287 juta (RM863 juta) seminggu kerana kehilangan jualan dan risiko 70,000 orang hilang pekerjaan sejak krisis itu bermula pada minggu lalu.

Sebelum ini, pihak berkuasa perubatan Jerman mendakwa wabak itu berpunca daripada timun organik yang ditanam di Sepanyol tetapi ia kemudian membetulkan maklumat tersebut dengan menyatakan sayur-sayuran yang ditanam di Jerman yang tercemar dengan bakteria berkenaan sebagai punca utama penyakit.

Bakteria E. coli jenis baharu itu boleh membawa maut terutamanya apabila ia menjangkiti darah dan ginjal dan boleh menyebabkan cirit-birit berdarah.

Pakar-pakar kesihatan kini menasihatkan orang ramai yang pergi ke Jerman supaya mengelak memakan buah tomato mentah, timun dan salad.

Pihak WHO juga menyatakan ia sudah dimaklumkan mengenai kes tersebut yang turut berlaku di Austria, Denmark, Perancis, Belanda, Norway, Sweden, Switzerland dan Britain.

“Sesiapa yang pulang dari Jerman dengan mendapat sakit termasuk cirit-birit berdarah sepatutnya mendapat rawatan perubatan dengan segera,” kata Agensi Perlindungan Kesihatan Britain.